Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN, UTUSAN ONLINE
SELAYANG 20 April – Disangkakan panas berpanjangan, rupanya hujan di waktu petang, begitulah perumpamaan yang dapat dikaitkan dengan nasib kebanyakan penduduk Andari Townvilla, Selayang Heights.
Dijanjikan keselesaan dan kemudahan yang pelbagai, namun realiti sebenar perlu diterima oleh penduduk di sini ternyata hanya mimpi indah belaka. Setelah tinggal lebih setahun, keluhan dan kemarahan penduduk di sini sudah tidak dapat dibendung lagi.
Luahan penduduk ternyata ada kebenarannya kerana tinjauan Utusan Malaysia mendapati pembangunan kawasan perumahan di sana sudah tidak teratur dan kemudahan yang dijanjikan oleh pemaju, Dergahayu Sdn Bhd, cuma sekadar janji kosong semata-mata.
Baru-baru ini, satu perjumpaan di antara penduduk dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Templer, Datuk Subahan Kamal telah diadakan bagi menyatakan permasalahan sebenar mereka terhadap pemaju. Bertempat di Rumah Kelab, seramai 200 penduduk membantah sambil memegang sepanduk menyuarakan bantahan di atas dasar pemaju, Dergahayu Sdn Bhd, yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, Osley Ahmad Nazri, masalah utama dihadapi penduduk ialah ruang letak meletak kenderaan yang disediakan begitu kurang jika dibandingkan dengan bilangan kenderaan sedia ada di sini.
‘‘Pada pelan susun atur yang telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 18 Februari 2008, butiran menyatakan bahawa pemaju dikehendaki menyediakan secara keseluruhan sebanyak 502 petak meletak kenderaan,’’ katanya. Namun, setelah pengiraan dibuat oleh penduduk di sini mendapati hanya terdapat sejumlah 449 petak meletak kenderaan disediakan di dalam kawasan berpagar perumahan.
‘‘Jarak bangunan baru yang dibina terlalu berdekatan dengan kawasan perumahan sedia ada malah bakal menjadikan kawasan Selayang Heights sesak dan melemaskan,’’ katanya.
Katanya lagi, penduduk bertambah marah apabila banyak janji yang dibuat oleh pemaju, Dergahayu Sdn Bhd, tidak ditunaikan seperti terkandung dalam iklan jualan sebelum ini.
Tambah menyakitkan hati, saiz kolam renang yang diuar-uarkan begitu besar langsung tidak mengikut spefikasi kerana terlalu kecil dengan nisbah penduduk di sini.
Jarak di antara kolam renang dengan bangunan baru yang sedang dibina hanya terpisah beberapa meter dan penduduk berasa hairan bagaimana projek berkenaan dapat diteruskan oleh MPS.
Sementara itu, Subahan yang juga Ketua Biro Pengaduan Awam UMNO semasa menyatakan reaksinya kepada penduduk berharap penduduk di sini menggunakan saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah ini.
Oleh itu, beliau mempersoalkan siapa sebenarnya orang penting di belakang projek ini kerana difahamkan penduduk di sini sudah tiga kali bertemu dan berbincang dengan KPKT tetapi tiada jalan penyelesaian.
Beliau turut menarik perhatian penduduk apabila mencabar menteri yang bertanggungjawab di dalam hal ehwal KPKT agar meletak jawatan sekiranya tidak mampu menyelesaikan masalah sekecil ini.
‘‘Saya berasa dukacita kerana masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah tetapi ia tidak berlaku,’’ katanya.
Jika keadaan memaksa, beliau sendiri akan berjumpa dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk meminta bantuan menamatkan masalah penduduk di sini.
Dalam masa yang sama, beliau menyatakan komitmen akan bersama penduduk untuk berjumpa dan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua MPS, Zainal Abidin Azim.
ARKIB 21/04/2008
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_01.htm
Photos courtesy from Kena "Con"